MENYINGKAP TABIR BADAR

Tanah merupakan persoalan kedua. Tanah hanya akan bermakna sekiranya dihuni oleh ‘manusia baru’ iaitu mereka yang terhasil daripada ledakan ’iman’ yang melanda jahiliyah. Madinah al-Munawwarah menjadi penting kerana dihuni oleh manusia yang dianugerahkan hidayah dan tanah tersebut telah menjadi objek penting dalam jiwa kaum muslimin. Lembah Badar bermakna kerana telah menyaksikan pertarungan hebat antara hak dan batil. Manusia juga hanya akan bermanfaat sekiranya mereka merdeka. Merdeka pula hanya dapat dicapai dengan bebasnya jiwa daripada penjajahan yang membinasakan. Pembinasaan tersebut merupakan pembinasaan diri seorang hamba bila mana dia tidak lagi hidup berpaksikan tuhan. Dengan kata mudah, ada tiga kata kunci untuk menjelaskan ’manusia baru’ ini iaitu : hidayah, merdeka dan Badar.

Catatan agung memberi gambaran tepat tentang ciri manusia yang diberi petunjuk.

’Kitab (Al Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (al-Baqarah : 2).


Al-Quran itu diturunkan untuk umat manusia bukan sebagai bait-bait syair yang menyejukkan hati apabila mendengarnya. Tetapi, sebagai dustur (perlembagaan) untuk menjawab persoalan kehidupan manusia. Begitulah generasi awal Islam memahaminya dan bila mana mereka menghayati serta mendalami jawapan persoalan tersebut, mereka menemukan hidayah di sebalik kalam agung tersebut. Al-Quran itu memberi petunjuk yang mampu merubah keyakinan dan pemikiran bila mana Allah telah memilihnya menjadi ’manusia baru’. Manusia sekeras Umar al-Khattab lemah mencair ketika ayat surah Toha menikam kekufuran dalam dirinya lantas membunuh kegelapan yang selama ini membayangi dirinya. Disebabkan petunjuk inilah Syed Qutb menulis ayat-ayat Fi Zilalil Quran di balik jeriji besi yang akhirnya menemukan syahid di tali gantung. Petunjuk inilah yang telah memandu para du’at menapak tetap di jalan dakwah tanpa kenal lelah menandatangani kontrak perniagaan yang paling menguntungkan.

’Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka’. (at-Taubah : 111).

Sekiranya petunjuk itu mampu memberi nafas kehidupan kepada mereka yang terdahulu, apakah mustahil kita juga diberikan petunjuk tersebutdan kita harus meminta...

Laungan ’MERDEKA’ menghiasi setiap ruang di dalam stadium dengan sambutan puluhan ribu manusia. Sekiranya ketika takbiratul ihram kita mengucapkan Allahu Akbar tetapi hanya keluar begitu sahaja dari mulut kita sedangkan hati kita tidak membenarkannya, bagaimanakah ’merdeka’ itu memberi erti? Berapa ramai anak merdeka itu yang dijajahi oleh doktrin-doktrin penjajah? Pengertian ’merdeka’ telah disempitkan sehingga membawa maksud bebas daripada penjajahan fizikal sahaja. Hakikatnya, merdeka itu memberi pengertian yang lebih luas. Jiwa yang merdeka ialah jiwa yang membebaskan diri daripada unsur-unsur yang bertentangan dengan fitrah dan fitrah merupakan elemen hakiki manusia. Manusia tidak akan bernilai tanpa fitrah dan Islam itu merupakan fitrah.

Pertarungan antara hak dan batil di lembah Badar menyimpulkan kedua-dua unsur di atas, hidayah dan merdeka. Memang benar pasukan yang diberi petunjuk merupakan golongan minoriti. Tetapi, apakah yang menyebabkan keputusan akhir pertarungan itu berpihak kepada mereka? Allah telah menjawab pertanyaan tersebut dalam surah al-Anfal secara jelas bahawa bilangan yang sedikit mampu mengalahkan lawan yang ramai sekiranya mereka sabar. Dua kata kunci yang penting di sini ialah sabar dan tujuan. Mereka sanggup bersabar kerana mengetahui tujuan hidupnya adalah untuk Allah semata. Walaupun kekuatan persenjataan mereka kurang lengkap berbanding musuh, mereka telah menang. Mereka menang kerana sebelum langkah mereka tiba di Badar, mereka telah pun menang. Sebelum pedang mereka memenggal leher kaum musyrikin, mereka telah pun menang. Mereka telah menang di alam jiwa sebelum menang di alam nyata. Sesungguhnya kemenangan di alam nyata adalah buah hasil kemenangan di alam jiwa dan mereka telah membuktikannya. Jiwa mereka telah merdeka. Bebas daripada ketaatan kepad taghut. Inilah pandang sisi Ghuzwah Badr al-Kubro dari sudut yang sering dilupakan.

Generasi awal menerima al-Quran sebagaimana kita menerimanya. Tiada satu kalimah atau ayat yang berbeza. Sekiranya wahyu itu telah berjaya melahirkan manusia merdeka, tidak mustahil kita juga boleh mendekati mereka. Al-Quran itu tidak berubah, dahulu, kini dan sampai bila pun kerana dipelihara oleh tuhan yang Maha Memelihara.

Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur'an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. (al-Hijr : 9).

Tiada siapa boleh mendustakannya. Menyingkap tirai Badar membawa umat menuju gerbang jaya.


ABDULLAH MUNIR

16 Ramadhan 1429H

Comments

Unknown said…
merajakan quran di hati.

Popular posts from this blog

pengatur