Kenyataan Media IKRAM - 30 Jun 2010








Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
30 Jun 2010 bersamaan 17 Rejab 1431



IKRAM BERSEDIA MENYUMBANG BAGI MEMBANGUNKAN SISTEM PENTAKSIRAN PELAJAR YANG LEBIH MENYELURUH.


IKRAM adalah sebuah NGO Islam yang menaungi rangkaian 34 buah sekolah-sekolah menengah dan rendah yang mengambil pendekatan pendidikan secara holistik, bersepadu dan berteraskan aqidah Islam. Sekolah-sekolah ini telah beroperasi sejak tahun 1985 dan pada tahun 2000 disejajarkan di bawah Pusat Pendidikan SRI SMI Berhad (MUSLEH). MUSLEH kini bergabung dengan/di bawah IKRAM menjadikan IKRAM kini menaungi lebih 14,000 orang murid, 1,100 orang pendidik dan 20,000 orang ibubapa di seluruh negara. 

2. Matlamat Pendidikan IKRAM, adalah untuk “memperkasa pendidikan Islam ke arah menjana generasi rabbani (yang diredhai Allah)”.

3. MUSLEH telah membina satu sistem pentaksiran yang holistik dan bersepadu bagi menilai dan meningkatkan pencapaian prestasi pelajar secara berterusan di sekolah secara lebih menyeluruh dan seimbang. Sistem tersebut dinamakan Sistem Pentaksiran Pelajar MUSLEH (SPPM).

4. IKRAM mengambil maklum akan cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR dan mengalu-alukan hasrat Kementerian untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak.

5. IKRAM bersetuju agar semua bentuk penilaian dan pengukuran pencapaian pelajar, sama ada di peringkat pusat mahupun penilaian berasaskan sekolah, termasuk UPSR, PMR dan SPM hendaklah dikaji semula dan diubahsuai, agar semuanya menuju ke arah pencapaian hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

6. IKRAM ingin menyarankan agar:
  1. Kementerian Pendidikan kembali meneliti dan bertindak dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai hasrat murni Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ke arah:

    “Memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
  2. Sebarang perubahan kepada sistem pentaksiran sedia ada hendaklah dilakukan hanya setelah kajian terperinci dilakukan. Pengalaman yang lalu di mana perubahan-perubahan yang dilakukan secara tergesa-gesa dan tanpa kajian terperinci telah membawa kesan yang amat buruk kepada sistem pendidikan negara.
  3. Segala keperluan asas dan infrastruktur hendaklah disiapkan dengan sempurna sebelum sebarang perubahan kepada sistem pentaksiran dilakukan.
7. IKRAM bersedia bekerjasama dengan pihak KPM khususnya pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk menggubal satu sistem pentaksiran kebangsaan yang boleh digunapakai untuk mencapai hasrat murni ke arah melahirkan insan seimbang dan harmonis (JERI) seperti yang termaktub dalam FPK. 

8. IKRAM bersedia untuk:
  1. menjelaskan kepada pihak KPM, khususnya pihak LPM mengenai konsep, falsafah, instrumen dan prosedur SPPM dan membuat kajian untuk mencari suatu mekanisme perlaksanaan yang lebih meluas di sekolah-sekolah kerajaan.
  2. menjalankan penyelidikan lebih mendalam setelah mendapat maklumbalas daripada perbincangan dengan LPM untuk memurnikan lagi SPPM, agar ia dapat disesuaikan dengan hasrat dan kehendak KPM untuk perlaksanaan pada skala yang lebih besar di seluruh negara.
9. IKRAM percaya jika konsep di atas diterima, maka segala bentuk latihan kepengetuaan dan perguruan, kursus dalam perkhidmatan dan usaha memberi kesedaran awam perlulah dilaksanakan. Dalam hal ini, IKRAM bersedia untuk menyumbang tenaga kepakaran. 

10. Akhirnya, IKRAM berharap agar isu pendidikan tidak dipolitikkan kerana ia melibatkan masa depan anak-anak dan negara.

Moga-moga Allah swt memberkati dan meredhai segala usaha kita demi kemaslahatan negara dan ummah. 

Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Comments

Popular posts from this blog

kamu siapa?