Wednesday, March 25, 2009

Ketika Du'at Memimpin


Padi. Ketika meninggi ia merendah.

Alhamdulillah. Allah masih memberi kesempatan saya untuk terus berkarya. Dewasa kini, di mana-mana orang berbicara mengenai politik…Ops..sensitif ke? Isu ini memonopoli media arus perdana hampir-hampir makalah, surat khabar, majalah, televisyen semuanya mengutamakan isu ini. Politik kotor, politik bersih, rasuah, skandal dan macam-macam lagi menyerabutkan lagi dunia politik masa kini. Egoisme, kronisme dan familisme…ahh sukar diri yang masih muda ini memahami!

Apa kaitan isu ini dengan diri saya?

Ingin saya ceritakan sedikit pengalaman saya terlibat dalam dunia politik (baca: tempias dunia politik).

Ketika zaman persekolahan dahulu, dalam kesibukan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sempat saya menghabiskan sebuah buku yang amat berkesan bagi saya. Dalam sela-sela mengulangkaji, saya berusaha sedaya upaya untuk menamatkan pembacaan buku tersebut sebelum tamat SPM. Ops..terlupa, judul buku tersebut ialah ‘Belajar Dari Dua Umar : Kenyangkan Perut Rayat’ tulisan Hepi Andi Bastoni penulis dari seberang. Buku tersebut menceritakan bagaimana keperibadian Dua Umar iaitu Umar Al-Khattab dan Umar Abdul Aziz sebagai khalifah Islamiyah. Dua Umar tersebut dikenali di seluruh dunia sebagai contoh pemimpin yang berjiwa rakyat. Sanggup turun ke jalanan menjiwai kehidupan dan menyelami perasaan rakyat mengetuk bongkah perasaan mereka. Satu harapan dan persoalan yang bermain di fikiran saya setelah selesai pembacaan tersebut ialah, ‘Masih adakah pemimpin seperti itu masa kini?’

Seluruh komponen alam ini telah diatur dan disusun rapi oleh Sang Yang Maha Mencipt, al-Kholiq. Begitu juga kehidupan kita. Segala-galanya telah diatur untuk kita. Segala puji bagi Allah, satu bulan selepas itu, harapan dan persoalan saya dijawab olehNya. Kejadian itu terjadi ketika saya mengikuti kembara ke Jawa selama dua minggu.

Pengalaman bermakna itu terjadi di sebuah tempat mulia, sebuah rumah Allah di tengah kesibukan kota Yogyakarta. Jika dibandingkan dengan masjid-masjid terkemuka di Negara kita, jauh beza dari segi reka bentuk dan infrastrukturnya. Ukiran dan hiasan tidaklah semegah masjid-masjid besar. Jauh beza juga jika dibandingkan dari segi ‘hidupnya’ masjid tersebut kerana masjid tersebut boleh dikatakan mendapat tempat di hati masyarakat sekeliling. Saya amat terkejut ketika menunaikan solat Subuh pertama kali di sana. Bukan apa, mana pernah diri ini melihat jemaah subuh memenuhi masjid di Malaysia. Jemaah tersebut bukan hanya terdiri daripada orang-orang tua a.k.a golongan berumur, tetapi remaja, wanita dan juga kanak-kanak. Saya dikhabarkan lagi bahawa masjid tersebut mempunyai kelab rakan masjid untuk semua golongan umur, dari kanak-kanak sehinggalah warga emas. Kelab-kelab tersebut masih aktif sehingga kini. Tambahan lagi, masjid tersebut juga mempunyai siaran radio dan televisyen tersendiri untuk sajian masyarakat sekeliling. Segala kegiatan masjid seperti qiamullail, majlis ilmu dan kelas-kelas pengajian akan disiarkan secara langsung untuk tatapan masyarakat. Masjid tersebut juga memnyediakan klinik gratis (percuma) untuk masyarakat setempat.
Politikus itu memang orang yang mempunyai banyak urusan. Tugasan dan mesyuarat sana-sini. Hari ini berada di daerah sini, esok di daerah sana. Itu memang satu kebiasaan bagi seorang politikus. Namun, pada hari itu, dia berada di depan mata saya. Bertatap muka dan berbicara dengan lembut kepada saya. Menyampaikan nasihat-nasihat.

)|( - )|( - )|(

Ketika itu, saya dan teman-teman sedang makan tengah hari di ruang masjid. Baru hendak mula makan, politikus itu datang dekat kepada kami dan mengajak kami makan bersama beliau. Bukan ajak duduk di sebelah, tetapi berkongsi kertas makanan bersama(kertas pembalut makanan). Lalu, kami terus makan, dua orang satu bekas. Seorang politikus bersama seorang insan biasa yang baru hendak mengenali erti kehidupan.

Bukan teruja, cuma terharu. Allah telah menunjukkan kepada saya salah seorang daripada pemimpin-pemimpin (politikus) yang tidak menjadikan jawatan atau pangkat sebagai satu ukuran atau yang dibanggakan tetapi sebagai sarana(alat) mendekatkan diri kepada Allah. Begitulah seharusnya seorang muslim, jawatan dan pangkat bukan menjadi tujuan atau rebutan. Sebaliknya menjadikan redha Allah sebagai tujuan. Lebih-lebih lagi bila sang pemimpin bukan hanya memimpin, tetapi bekerja sebagai da’ie yang mengajak kembali jiwa-jiwa yang pernah bersyahadah kepada Allah. Harta dan anugerah bukan menjadi ukuran kepada pelaksanaan tanggungjawab, tetapi sejauh mana khidmat, amanah dan pelayanan kepada masyarakat yang diberikan menjadi ukuran. Ya Allah, jadikan aku pemimpin kepada muttaqeen. Seperti padi, ketika meninggi ia merendah. Dunia politik bukan hanya isu mereka, tetapi isu kita bersama. Seperti isu Palestin, semuanya berkisar seputar konflik politik dunia.

[politikus itu bakal bertanding sebagai caleg DKI Jakarta 9 April ini]

1 comment:

+akufobia+ said...

..(kenapa ni?nta ok?)

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin